myMetro > Rap | Hati berbunga '2 madu' disatukan.


ADA apa dengan Zizan Raja Lawak? Bagaimana dia boleh memikat hati pelakon sedang mencipta nama, Juliana Sophie Johari Evans atau Juliana Evans dan Natasha Hudson?
Begitulah soalan yang ditanya peminat apabila timbul gosip mengatakan pelawak yang nama sebenar, Mohd Razizan Abd Razak, 27, sedang hangat menyulam cinta dengan Juliana, 22. 



Kemudian timbul pula cerita mengatakan dia turut akrab dengan Natasha, 28, terutama apabila wanita kelahiran Ipoh, Perak itu menghadiri majlis ulang tahun hari jadinya, pertengahan April. Sejak berada di puncak populariti, nampaknya Zizan mula dikaitkan dengan ramai wanita dan lebih menarik kebanyakannya berdarah kacukan.

Bagaimanapun, apabila diajukan mengenai perkara ini ternyata apa yang diperkatakan itu tidak benar dan hubungan mereka tidak lebih daripada teman rapat. Sekurang-kurangnya itulah yang diyakinkan tiga bintang popular ini sewaktu hadir di Studio Balai Berita bagi menjalani sisi fotografi khas sempena sambutan Aidilfitri.



Kata Zizan, dia senang berkawan dengan Juliana dan Natasha kerana kedua-duanya mempunyai sifat ‘sempoi’ dan selamba. Walaupun kedua-duanya boleh disifatkan wanita berprofil tinggi dalam dunia hiburan tempatan dan memiliki kecantikan yang boleh menggetarkan hati ramai lelaki, akui Zizan, mereka tidak pernah meletak tembok dan mudah didekati.


“Kedua-dua sangat terbuka dan kami boleh membicarakan mengenai apa saja. Tidak dinafikan, saya sayangkan mereka, tetapi sebagai seorang sahabat. Mereka juga turut mengambil berat mengenai diri saya,” katanya.

Sebagai kawan, Zizan dan Juliana juga berkesempatan bekerja bersama menerusi filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham yang akan menemui penonton pada hari raya pertama.

Bercerita lanjut mengenainya kata Zizan, sewaktu diberitahu pengarah yang dia akan digandingkan dengan Juliana, terus hatinya berbunga memandangkan antara mereka sudah mengenali satu sama lain.

“Lebih senang sebenarnya sebab kami dah kenal jadi keserasian itu senang hendak diwujudkan. Seperkara lagi, Juliana ini walaupun masih muda, tetapi apabila tiba bab kerja, dia akan serius dan mudah berkongsi idea. Lebih penting lagi, walaupun dia cantik dan popular, Juliana tidak pernah ‘diva’ di set. Saya suka bekerja dengan orang begini,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan hari raya, jelas Zizan ia menjadi medan untuk dia bertemu dengan peminat di samping bermaaf-maafan. Bagaimanapun, kerana kesibukan kerja dia hanya akan beraya bersama peminatnya di Terengganu pada hari raya ketiga.

Juliana pula pertama kali bergandingan dengan Zizan dan bekerja dengan Ahmad Idham berkata, dia berasa seronok dan setiap hari di lokasi penuh dengan gelak dan ketawa.

“Seronok bekerja dengan produksi Hantu Bonceng ni sebab tidak ada tekanan. Cuma yang tertekan apabila saya perlu jadi hantu. Maklumlah, hendak disiapkan sebagai hantu dengan solekan kesan khas membuatkan saya rasa kurang selesa. Ini pertama kali saya membintangi filem seram,” katanya.

Juliana turut menafikan dia dilamar Ahmad Idham kerana gosip cintanya dengan Zizan atau pelawak itu yang menyarankan kepada produksi agar mengambilnya membintangi filem Hantu Bonceng. Sebaliknya, pengarah prolifik itu sudah lama mempelawa Juliana membintangi filem dihasilkan cuma belum belum ada kesempatan.

Mengenai Raya, jelas Juliana setiap tahun dia akan mengikut keluarganya pulang ke kampung di Perak dan baginya ikatan silaturahim dapat diperkukuhkan apabila amalan kunjung mengunjung masih diamalkan.

“Walaupun orang kata zaman sekarang cara sambut Aidilfitri sudah berubah, saya tidak pernah berasa begitu. Malah, saya nantikan hari untuk beraya di kampung kerana dapat berjumpa sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu. Ada antara kami yang dapat berjumpa setahun sekali iaitu pada hari raya saja. Kerana itu pada saya, hari raya sangat penting.

“Selalunya rutin kami �sekeluarga akan pulang lebih awal ke kampung untuk berbuka puasa pada hari terakhir sambil mengemas di rumah nenek. Kami akan berada di sana sampai raya kedua dan apabila raya ketiga pula, saya akan beraya bersama kawan-kawan. Inilah rutin saya saban tahun tidak berubah dan saya harapkan ia akan diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Natasha turut mengakui senang berkawan dengan Zizan kerana sikapnya yang kuat mengusik dan membuatkan mereka sering ketawa. Begitupun, apabila berbicara mengenai perkara penting, Zizan akan serius dan cuba memberikan buah fikiran yang baik sebagai nasihat atau dorongan.

“Saya juga agak rapat dengan Juliana sehinggakan kami menghasilkan lagu raya khas yang diterbitkan DJ Fuzz. Saya ajak Juliana berduet dan dia sendiri berkata apa salahnya mencuba. Ia masih dalam proses. Kalau tidak keluar tahun ini ia boleh juga didengar tahun hadapan,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan raya tahun ini, Natasha yang kembali sendiri berkata, dia tidak tahu lagi sama ada mahu pulang beraya bersama ibunya di kampung, Ipoh, Perak atau beraya di Kuala Lumpur.

“Kalau tidak pulang ke kampung bermakna ini pertama kali kami beraya di sini.
Sebenarnya tahun ini anak tunggal saya, Neesa Heelena akan beraya bersama keluarga bekas suami, jadi saya rasa berat hati untuk pulang ke kampung.

Entahlah, perkara ini juga ada saya bincangkan dengan ibu dan adik. Kemungkinan saya akan pulang beraya ke Ipoh pada hari raya kedua,” katanya.

Dalam kesempatan ini juga, Zizan, Juliana dan Natasha mengucapkan Salam Aidilfitri kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka selama ini.



No comments:

Post a Comment