Taraf 'Seniman' Bagi Pelawak?


Zizan 'Raja Lawak' kini berusaha bawa pelawak ke peringkat profesional dan lebih dihormati.


DUDUK bersembang dengan 'Raja Lawak', Mohd Razizan Abdul Razak, memang tak sunyi daripada ketawa.

Setiap soalan yang diajukan pasti disambut dengan senda dan lawak selambanya dulu, sampai beberapa kali saya terpaksa mengulangi soalan, agar jawapannya tidak tersasar ke cerita-cerita kelakarnya.Anehnya, di sebalik keramahan dan mudahnya beliau membuat orang ketawa, jejaka yang lebih mesra dengan nama 'Zizan Raja Lawak' ini mengakui tugas membuat orang ketawa merupakan kerja seni yang paling sukar dalam bidang hiburan.'Saya buat akak ketawa pun sebab saya stres kena interviu,' seloroh pemuda asal Terengganu, Malaysia, ini ketika ditemui di Singapura baru-baru ini.Zizan, 27 tahun, naib juara rancangan realiti popular televisyen Astro, Raja Lawak musim pertama, ke Singapura kerana diundang teman 'taiko'nya dari filem KL Gangster, Aaron Aziz, yang menerbitkan iklan F&N untuk siaran televisyen tempatan sempena Hari Raya.Apabila ditanya apa susahnya melawak kalau tanpa disuruh pun beliau sudah menggeletek, Zizan berkata bahawa tidak seperti bidang nyanyian atau lakonan, melawak 'tidak boleh diulang' kerana 'lawak ulangan, tidak lagi mengundang rasa geli hati.'Kata Zizan: 'Akak tengok saja penyanyi. Mereka rakam satu lagu yang sedap dan lagu yang sama itu jugalah dimainkan berulang kali sepanjang tahun, tetapi penyanyi menjadi artis yang mendapat bayaran tertinggi.'Ini diikuti dengan pelakon, kemudian baru pelawak. Rasanya, dalam bidang hiburan, lawak jenaka merupakan tugas paling sukar kerana kelakar bagi kita tak semestinya kelakar bagi orang. Kalau dapat skrip, pelawak tak boleh gunakan skrip bulat-bulat seperti pelakon, tetapi kena perah otak, menjadikan skrip itu jadi kelakar.'Malangnya, kerja susah yang macam ini, kurang diberi perhatian penganjur dan penerbit rancangan hiburan,' kata Zizan berterus terang.Sebab itu jugalah, Zizan berpendapat lawak jenaka seharusnya tidak boleh dipertandingkan, apatah lagi jika pelawak harus memikirkan sketsa-sketsa lucu dari minggu ke minggu.'Dulu semasa sertai Raja Lawak, saya sebenarnya tertekan perasaan memikirkan macam mana nak buat orang ketawa. Setiap minggu kena fikirkan benda baru. Orang ketawa, tetapi saya stres,' ujarnya lagi. Cara beliau: 'Saya buat kajian tentang kerenah hidup orang ramai dan memastikan ceritanya dekat dengan hati kita.'Kisah bagaimana Zizan menjadi pelawak juga menggeletek saya dan Aaron yang sama-sama duduk mendengar celotehnya.Kata Zizan, beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, sebuah sekolah Cina di Terengganu dan sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang cef. Sebab itu beliau melanjutkan pengajiran di bidang seni kulinari di sebuah institusi perhotelan, dengan harapan dapat menjadi tukang masak profesional.'Masa tu, mata air saya dari zaman sekolah masuk kursus front office, jadi kononnya, kami berangan sama-sama nak kerja di hotel. Tetapi apabila sampai masanya, tiga bulan saya terperuk di dapur, dengan tugas hanya memotong bawang. Berderai air mata saya setiap hari, pedih dan kesedihan,' cerita Zizan dengan wajah sedih dan selambanya. Beliau menegaskan, ketika ini beliau 'masih single.'Apa yang menarik perhatian, rancangan realiti pertama yang disertainya tidak ada kena-mengena dengan bidang lawak, sebaliknya nyanyian. Beliau masuk uji bakat Akademi Fantasia (AF) musim keempat dan telah lulus beberapa peringkat dan hanya menanti keputusan untuk dipilih sebagai 10 peserta final.'Saya diberi sijil penyertaan dan diberitahu agar simpan sijil itu sehingga pihak kru televisyen Astro datang ke rumah untuk memberitahu saya terpilih ke final. Saya tunggu dengan sabar di rumah di Dungun, Terengganu, dan buat kerja lain seperti masuk teater dan lumba motor. Tetapi satu hari semasa saya buka televisyen, saya tengok AF dah bermula dan masuk episod yang ke sembilan!' cerita Zizan lagi.Bagaimanapun, rezeki Zizan tetap dalam bidang hiburan. Beliau tidak menyangka, apabila rancangan Raja Lawak diperkenalkan, beliau mendapat undangan secara langsung dari pihak Astro untuk menyertainya.'Rupa-rupanya, penerbit simpan video uji bakat saya semasa AF. Ternyata, semasa uji bakat, mereka lihat bakat lawak saya lebih daripada menyanyi,' ujar Zizan yang sememangnya pernah menjadi juara Malam Pelawak Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).Beliau dan temannya, Johan, yang sebagai kumpulan dikenali sebagai Jozan, merupakan Naib Juara Maharaja Lawak yang baru berlalu.Apabila ditanya keadaan di Malaysia yang sejak popular rancangan Raja Lawak, kini dibanjiri ramai pelawak, sama ada secara yang berkumpulan atau individu, Zizan menganggapnya sebagai perkembangan sihat yang mencabar semua pihak.'Kalau dah ramai pelawak, pilihan semakin luas. Masing-masing kenalah bekerja keras untuk kekal diminati. Saya paling tak suka kalau orang cuba melaga-lagakan pelawak atau membanding-bandingkan antara pelawak sehingga timbul rasa tak selesa.'Kalau orang sukakan Nabil misalnya, biarlah Nabil berjaya. Bahkan saya dan beberapa pelawak lain termasuk Nabil, sedang berusaha untuk meletakkan taraf pelawak-pelawak Malaysia ke tahap yang lebih profesional dan lebih di hormati. Kalau pun tak lebih tinggi, sekurang- kurangnya, pelawak harus mendapat layanan dan pengiktirafan yang sama dengan seniman-seniman dalam genre lain,' kata Zizan lagi.

No comments:

Post a Comment